Kunci Rezeki Dengan Berhijrah

Di antara dalil yang menunjukkan bahawa berhijrah
di jalan Allah termasuk kunci rezeki adalah firman Allah:

‘Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka
mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas
dan rezeki yang banyak.’ (An-Nisa 100).

Dalam ayat yang mulia ini, Allah menjanjikan bahawa
orang yang berhijrah di jalan Allah akan mendapati
dua keuntungan, yakni pertama, bumi yang baik dan
kedua, rezeki yang banyak.

Yang dimaksudkan dengan tempat hijrah yang luas
sebagaimana dikatakan oleh Imam Ar-Razi adalah,
barangsiapa berhijrah di jalan Allah ke negeri lain,
nescaya akan mendapati di negerinya yang baru itu
kebaikan dan kenikmatan yang menjadi sebab kehinaan
dan kekecewaan para musuhnya yang berada di negeri
asalnya. Sebab orang yang memisahkan diri dan pergi
ke negeri asing, sehingga mendapatkan ketenteraman
di sana, lalu berita itu sampai kepada negeri asalnya,
nescaya penduduk asli negeri itu akan malu atas buruknya
muamalah (perlakuan) yang mereka berikan, sehingga
dengan demikian mereka merasa hina.

Sedang yang dimaksudkan, rezeki yang banyak (luas),
iaitu keluasan rezeki. Inilah yang dikatakan oleh
Abdullah bin Abbas dalam menafsirkan ayat ini.
Juga dikatakan oleh Ar-Rabi’, Adh Dhakkak, Atha’
dan majoriti ulama.

Qatadah berkata: ‘Maknanya, keluasan dari kesesatan
kepada petunjuk dan dari kemiskinan kepada
banyaknya kekayaan.’

Imam Malik berkata:
‘Keluasan yang dimaksud adalah keluasan negeri.’

Imam Al-Qurthubi berkata: ‘Pendapat Imam Malik
lebih dekat pada kefasihan ungkapan bahasa Arab.
Sebab keluasan negeri dan banyaknya bangunan
menunjukkan keluasan rezeki. Juga menunjukkan
kelapangan dada yang siap menanggung kesedihan
dan fikiran serta hal-hal lain yang menunjukkan kemudahan.’

Pendapat mana saja yang kita ambil dari ketiga pendapat
di atas, yang jelas semuanya menunjukkan bahawa
orang yang berhijrah di jalan Allah akan mendapatkan janji
dari Allah berupa keluasan rezeki, baik dengan ungkapan
langsung mahupun secara tidak langsung.
Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *