Adakah kehidupan anda sekarang ini adalah apa yang anda inginkan? Setiap individu mempunyai keinginan masing-masing dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Ia boleh jadi dari segi perhubungan, kerjaya, kewangan mahupun kesihatan. Wanita khususnya mempunyai keinginan tersendiri dan ramai telah menggunakan Hukum Tarikan secara sedar atau tidak sedar dalam kehidupan mereka. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diketahui…

 

Konsep Hukum Tarikan

Hukum Tarikan boleh diringkaskan sebagai – “kita menarik apa yang kita fokuskan”. Jadi, jika anda fokus kepada wang, maka anda akan menarik wang. Malangnya jika anda fokus kepada aspek negatif terhadap sesuatu, contohnya jika anda fokus kepada hutang, maka anda akan menarik hutang lebih banyak datang dalam hidup anda. Bagi wanita misalnya, jika fokus kepada aspek kecantikan, maka dia akan menarik benda-benda kecantikan kepadanya.

 

Fokus Kepada yang Positif

Dalam menggunakan Hukum Tarikan ini, anda perlu fokus kepada apa yang anda inginkan dan ia memerlukan sikap yang positif. Ini bermakna, daripada fokus kepada hutang yang anda ada, anda haruslah menukar pemikiran anda supaya fokus kepada kekayaan yang anda ada dan merasa sangat gembira kerana telah mencapai kebebasan kewangan.

Adakah anda menipu diri sendiri? Tidak sama sekali! Anda hanya fokus kepada keadaan kesyukuran atas apa yang anda ada dan membiarkan emosi anda bergabung dengan kesyukuran. Bayangkan bagaimana anda rasa jika anda telah dapat keinginan anda. Jika ianya pekerjaan yang ideal, kebebasan kewangan, kesihatan yang baik atau apa sahaja yang anda inginkan dan membenarkan diri anda merasai seperti telah mendapat keinginan itu.

Emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Emosi positif seperti gembira, bahagia, seronok dan sebagainya akan menarik perkara yang sama datang kepada kita, begitulah sebaliknya jika beremosi negatif. Emosi adalah susulan daripada pemikiran kita yang akan menghasilkan tindakan yang berdasarkan kepada pemikiran.

Kebiasaannya, wanita mempunyai sikap emosional yang tinggi. Ini boleh mengakibatkan hasil yang tidak diingini terjadi kerana tiada kawalan kepada pemikiran dan emosi yang mengakibatkan ia cenderung kepada perkara negatif. Jadi, kawallah pemikiran dan emosi supaya fokus kepada perkara positif. Dengan ini, ia akan mengubah hidup anda ke arah yang lebih positif.

 

Lepaskan Impian

Apabila terlalu banyak fokus dan ambil berat terhadap impian atau keinginan, ia akan menjadi satu keperluan. Sebagai contoh “saya perlu menjadi bebas kewangan”, walau bagaimanapun, ada keperluan di situ. Keperluan di sini bermaksud terlalu banyak ikatan terhadap impian itu. Hukum tarikan bertindak apabila anda menjalani hidup ini seperti anda telah memiliki semua impian yang anda inginkan dan anda harus melepaskan ikatan keperluan pada impian itu. Dengan erti kata lain, lepaskan ikatan bermaksud berserah kepada Allah SWT. Moga permintaan atau doa anda dimakbulkan. Anda boleh berkeinginan yang lebih banyak, tetapi jika ada keperluan di situ, ia umpama meletakkan brek pada kuasa tarikan. Ia adalah seperti halangan yang anda letak di antara anda dan impian anda.

 

Pehubungan Ideal

Ada beberapa perkara yang anda perlukan sebagai persediaan untuk menarik perhubungan dengan orang lain termasuk pasangan hidup anda. Pertama, anda mesti tahu apa yang anda inginkan. Jika anda ingin mencari pasangan hidup, anda harus fikirkan tentang orang itu. Fikirkan tentang apakah ciri-ciri atau karakter yang dikehendaki dengan terperinci tentang orang tersebut. Jika anda mencari bakal suami sebagai contoh, ciri-ciri yang anda cari adalah yang beragama, kacak, berkulit cerah, tinggi, kaya, bergaya dan sebagainya. Lebih terperinci lagi bagus.  Ingat…fokus  kepada ciri-ciri yang positif sahaja. Kedua, anda harus yakin yang anda telah berjaya mendapatkan perhubungan dengannya. Ini adalah antara cara-cara untuk menarik perhubungan ideal dengan sesiapa yang dikehendaki.

 

Langkah Pertama

Tanya pada diri anda, apakah yang anda inginkan dalam kehidupan anda? Carilah apa yang ada pada anda. Fokus kepada yang positif dalam hidup anda. Sebagai contoh “Saya inginkan RM500,000.00 dalam akaun simpanan persaraan.” Jadikan ia sebagai matlamat dan rasakan dengan emosi positif yang mana ia telah dapat diperolehi. Rasakan anda hidup dengan penuh kebahagiaan. Kemudian, lepaskan atau berserah kepada Yang Maha Esa dan yakin bahawa Allah SWT sahaja yang memberi nikmat kepada makhluk-Nya.

 

Carilah jalan untuk kekal bermotivasi dan berinspirasi setiap hari dan menarik lebih banyak  impian dalam kehidupan anda.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *